WARKAH TERBUKA BUAT SAHABAT

>> Tuesday 30 June 2009

BAHASA dalam usahanya membantu Palestin menerusi kutipan derma bersama DBP Sabah. Kelihatan Pengarah DBP Sabah memerhati penderma sambil dibantu oleh Pengerusi BAHASA Sandakan.

Badan Bahasa dan Sastera (BAHASA), Cawangan Sandakan merupakan cawangan BAHASA Sabah yang aktif dan konsisten. Sejak awal penubuhannya BAHASA Sandakan sudah memiliki sifat dan semangat kental dan mengetahui duri dan onak yang bakal dilalui. Kesatuan dan kesungguhan penggerak BAHASA Sandakan ini turut dibanggai dan mendapat perhatian khusus dari Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Cawangan Sabah. Ini jelas ketika kunjungan khas beliau ke Sandakan suatu masa dahulu, bertemu dan berdialog dengan para penulis di Sandakan. Bahkan beliaulah yang melancarkan blog BAHASA Sandakan pada ketika itu. Karnival Pameran Buku DBP di Sandakan baru- baru ini antara sebab diadakan adalah untuk memberi penghormatan kepada para penulis di Sandakan dan masyarakat Sandakan amnya melalui BAHASA Sandakan.

Yang Dipertua BAHASA Sabah, saban waktu memberi rangsangan dan nasihat berguna dalam semua aktiviti BAHASA di Sandakan. Beliau turut berbangga dengan komitmen yang diberikan oleh BAHASA Sandakan dalam usaha merealisasikan matlamat BAHASA itu sendiri. Malah beliau meletakkan harapan penuh, agar BAHASA Sandakan ini menjadi satu contoh terbaik kepada cawangan BAHASA lain di seluruh Sabah.

Ikatan Penulis Muda Sandakan (IPMS) turut digembeling bersama dalam BAHASA Sandakan. IPMS di bawah bimbingan Al Fazli Md Salleh ini telah menjadi tunggak yang kuat dalam BAHASA Sandakan. Demikian juga dengan kehadiran orang 'lama' dalam BAHASA yang aktif dalam bidang penulisan dan lakonan seperti saudara Bob Sarman, Hashim, Tn Hj Jamain dan lain- lain. Gabungan tenaga ini menjadi aroma yang betul- betul 'kaw'.

BAHASA dalam pelancaran buku BAHTERA KE SELATAN terbitan BAHASA Sabah dan penulis dari Johor.

Sahabatku yang dikasihi,
Perjuangan ini belum selesai. Perjuangan ini milik kita bersama. Bahtera BAHASA masih dan akan terus menyelusuri arus dan ranjau. Hasil kerja yang kita lakukan hari ini memang 'tidak terasa' nikmat kelazatannya. Ia akan dirasakan nikmatnya oleh generasi mendatang dan pada masa itu kita sudah tua atau sudah tiada lagi.
BAHASA ini perlu sentiasa mendapat penyegar (refresh). Ia ibarat komputer yang perlu 'disk defragmenter' selalu. Antara aktiviti yang boleh diselusuri ialah percambahan minda antara ahli, rekreasi, motivasi dan apresiasi ahli. Dalam apa juga hal dan keadaan BAHASA perlu di hadapan dan diberi keutamaan. Selain daripada itu kritikan dan cemuhan luar dan dalam perlu ditangani dengan bijak dan berhati- hati. Pengunjung 'cbox' kita seperti Jambul dan Mapty kita andaikan mereka ini sebagai pencabar dan tidak akan memecah belahkan kesatuan kita. Namun ia lebih indah jika dapat dihubungi dengan rapi agar mesej BAHASA dapat difahaminya.

Semangat persaudaraan seperti Datu Nakura dan Utu' mesti diserapkan dalam BAHASA
Apakah yang akan terjadi pada BAHASA sepuluh tahun akan datang? Ianya bergantung kepada siapa yang ada di dalam BAHASA itu sendiri. Kepimpinan yang sedia ada ini perlu diberi sokongan dan kerjasama penuh dari semua yang terlibat. Usaha Pengerusi BAHASA Sandakan selama ini telah berjaya membawa BAHASA ke peringkat negeri dengan pencapaian yang cemerlang. Ini terbukti dengan pementasan sulung teater BAHASA baru- baru ini di Sandakan telah meraih ramai pengunjung dan peminat teater hadir menyaksikan LUUK SAPI. Kebangga ini turut dikongsi bersama oleh DBP Sabah. Ini jelas apabila sekali lagi BAHASA Sandakan dijemput untuk membuat pementasan di Kota Kinabalu pada 4 Julai ini. Syabas!
Akhir sekali, marilah kita bersama- sama memberikan komitmen yang tinggi untuk BAHASA. Sesungguhnya KARYA KITA, WAJAH KITA!

0 comments:

  © Blogger templates Shiny by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP